Kebudayaan dan ekonomi Pulau Pinang

Rencana utama: Budaya di Pulau Pinang

Pulau Pinang, yang juga digelarkan sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient), merupakan sebuah syurga bagi pencinta-pencinta makanan yang datang dari seluruh Malaysia dan Singapura untuk menikmati gaya masakan yang istimewa. Makanan Pulau Pinang yang membayangkan pergaulan di antara kaum Cina, Melayu dan India, juga dipengaruhi kuat oleh makanan Thailand. Pulau Pinang adalah termashyur dalam makanan penjaja yang dijual dan dimakan di tepi jalan, terutamanya makanan mi dan makanan laut.

Gambar ini menunjukkan seorang pembawa beca bersama pelancong menaiki beca

Batu Ferringhi, yang terletaknya di pantai utara Pulau Pinang, mempunyai banyak hotel yang moden dan merupakan pantai peranginan yang amat popular. Ramai pelancong juga melawati Georgetown, sebuah bandar yang bersejarah dan yang mengandungi rumah-rumah pelbagai kaum, termasuk orang Cina Selat, Melayu dan India, yang dibina pada abad kesembilan belas. Bangunan-bangunan kolonial British boleh juga didapati diantara kuil-kuil Cina dan India, dan masjid orang Melayu Islam. Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Rumah Besar Cheong Fatt Tze di bandar, dan Kuil Ular di Bayan Lepas merupakan destinasi pelancong yang masyhur. Salah satu daripada mercu tanda yang utama ialah bangunan KOMTAR, bangunan yang tertinggi di Pulau Pinang.

Kegiatan perdagangan di negeri Pulau Pinang telah merosot dengan hebat bukan sahaja disebabkan oleh kehilangan taraf pelabuhan bebas, tetapi juga kerana kemajuan yang aktif di Pelabuhan Klang berdekatan ibu negara Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, masih terdapatnya sebuah terminal kontena di Butterworth yang meneruskan perkhidmatannya disebelah utara.

Pada hari kini, negeri Pulau Pinang merupakan ekonomi yang ketiga terbesar di antara negeri-negeri Malaysia, iaitu selepas Selangor dan Johor. Sektor pengeluaran merupakan sektor terutama dalam ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 45.9% kepada keluaran negeri kasar pada tahun 2000. Perkembangan industrialisasi di bahagian selatan pulau amat pesat, dengan banyak kilang elektronik teknologi tinggi (seperti Intel, AMD, Motorola, Agilent, Hitachi, Osram, Bosch dan Seagate) yang terletaknya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru.

Sektor-sektor utama yang lain dalam ekonomi Pulau Pinang termasuk sektor pelancongan, kewangan dan lain-lain perkhidmatan.